Di sebalik personalitinya yang ceria dan menghiburkan di media sosial, pempengaruh Harszan sebenarnya menyimpan kisah duka yang jarang diketahui ramai apabila mendedahkan dirinya pernah menjadi bayi terbuang ketika masih kecil.

Pernah Dibuang Sewaktu Bayi, Harszan Hidup Tanpa Identiti Bertahun-Tahun

Dalam temu bual di AI Team Podcast, Harszan berkongsi bahawa dia ditemui oleh orang awam di sebuah kawasan perumahan dalam keadaan menyayat hati sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Namun, tiada sesiapa tampil menuntutnya selepas itu.

“Ada orang jumpa saya di satu tempat dan bawa ke hospital. Tapi tak ada siapa datang tuntut saya. Bila dijumpai, darah di badan pun dah kering, mungkin saya dah terbiar dalam sehari dua,” ceritanya.

Ketiadaan waris menyebabkan dia diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di rumah kebajikan sehingga berusia dua tahun sebelum diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri. Walaupun mendapat keluarga baru, Harszan berdepan cabaran besar apabila membesar tanpa sebarang dokumen pengenalan diri kerana kelahirannya tidak pernah didaftarkan.

Menurutnya, status itu menyukarkan urusan kehidupannya termasuk tidak dapat menaiki kapal terbang, membuka akaun bank, atau memohon pekerjaan secara sah.

“Saya tunggu dari umur 12 sampai 21 tahun. Dalam tempoh tu, saya tak boleh buat apa-apa. Pernah kena halau masa minta kerja sebab saya tak ada IC, malah ada yang cuma tawarkan gaji RM500. Semua bayaran pun secara tunai,” ujarnya.

Walaupun diuji dengan pelbagai kesukaran, Harszan tetap berpegang pada semangat untuk terus maju. Pengalaman hidup tanpa identiti selama hampir sedekad itu menjadi titik tolak yang membentuk ketabahannya hari ini, menjadikannya inspirasi kepada ramai yang menonton kisahnya di media sosial.

Kredit: Youtube AI Team Division 2

 

[fbcomments]