Penjenayah yang memecah masuk premis perniagaan menjual kenderaan di Sibu di sini, awal pagi semalam dipercayai cedera diserang anjing German Sherpherd yang menjaga premis itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Collin Babat berkata, jurujual kereta terpakai berusia 28 tahun ketika sampai di tempat kerjanya di Pacific Auto Company jam 8 pagi, terkejut apabila membuka pintu utama kedai mendapati terdapat banyak kesan darah berlumuran di atas lantai di ruang hadapan kedai.
“Terdapat dua ekor anjing baka German Shepherd berumur satu tahun dan lima dilepaskan tanpa ikatan tali di bahagian hadapan dan belakang kedai, apabila kedai ditutup.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat banyak kesan darah di hampir seluruh ruang pejabat bahagian bawah, sedikit di bahagian atas dan di bahagian dapur.”
Katanya, kesan darah dan cermin pintu pecah di bahagian ruang tamu kedai menunjukkan ada berlaku pergelutan.
“Premis tersebut mempunyai Litar Kamera Tertutup(CCTV tetapi dekoder telah tiada, dipercayai dibawa lari oleh suspek. Semakan akan dibuat di semua hospital atau klinik kerajaan dan swasta untuk mendapatkan maklumat lanjut,”
Katanya,antara barang yang hilang ialah seunit dekoder CCTV berserta alat kawalan,dua unit CPU, seunit mesin JPJ Biometric Thumbprint, seunit modem TM, beberapa dokumen akaun syarikat, 64 kunci pendua berserta alarm pelbagai model kereta belum dijual, dan 79 kunci pendua berserta alarm pelbagai model kereta yang sudah dijual.
“Anggaran kerugian bagi keseluruhan barang yang hilang serta kerosakan peralatan yang dialami ialah sebanyak RM35,000.”