Perselisihan faham antara dua kumpulan dipercayai berkaitan perebutan kawasan sekuriti di sebuah tapak perumahan menjadi punca tercetusnya pergaduhan di pekarangan Balai Polis Meru, Klang pada Isnin lalu.
![]()
Perebutan Kawasan Sekuriti Cetus Pergaduhan Dua Kumpulan di Balai Polis Meru
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati semua individu yang terlibat saling mengenali dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap. Susulan kejadian itu, polis telah menahan lapan lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, tangkapan pertama melibatkan lima lelaki berusia antara 28 hingga 41 tahun yang direman tiga hari sehingga 5 Mac sebelum tempoh reman dilanjutkan sehari lagi. Tangkapan kedua pula membabitkan dua lelaki berusia 39 dan 44 tahun yang direman tiga hari sehingga 6 Mac, manakala tangkapan ketiga melibatkan seorang lagi individu yang direman sehingga 7 Mac.
![]()
Semakan mendapati sebahagian suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, cubaan bunuh (Seksyen 307), samun berkumpulan (Seksyen 395/397), selain kes merusuh menggunakan senjata dan pecah rumah. Seorang daripada mereka juga dikehendaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Ujian saringan air kencing turut mendapati seorang suspek positif dadah jenis benzodiazepine (benzo).
![]()
Dalam kejadian itu, polis merampas satu topi keledar dan sebatang besi paip yang dipercayai digunakan semasa pergaduhan. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata, Seksyen 427 kerana melakukan khianat dan Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.
Siasatan turut dijalankan di bawah peruntukan Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958. Shazeli menegaskan polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggugat ketenteraman awam.
Kredit: Sinar Harian