Khabar pemergian anak sulung pelakon Amyza Aznan iaitu Andre Mikhail bin Khairil Izhar mengundang rasa hiba apabila beliau disahkan meninggal dunia pada malam Isnin akibat kanser paru-paru.

Berita tersebut dimaklumkan sendiri oleh Amyza menerusi media sosial dengan memohon orang ramai menyedekahkan al-Fatihah buat arwah yang telah kembali ke rahmatullah.

Anak Sulung Amyza Aznan Meninggal Dunia Akibat Kanser Paru-Paru Tahap Empat

Allahyarham sebelum ini dilaporkan menghidap kanser paru-paru tahap empat sejak 15 Februari tahun lalu dan beberapa hari lalu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.30 malam.

Pemergian Andre pada usia 23 tahun, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan, memberi kesan mendalam kepada bapanya, Khairil Idzhar Md Nazir. Memetik laporan mStar, Khairil bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi dan menyifatkan pemergian anaknya pada bulan yang penuh keberkatan itu sebagai satu kekuatan untuk terus tabah.

Beliau memaklumkan berada di sisi Allahyarham ketika detik akhir dan segala urusan dipermudahkan. Menurutnya, Andre merupakan seorang anak yang baik serta tidak pernah menyusahkan keluarga walaupun menanggung kesakitan sepanjang lebih setahun berjuang melawan penyakit tersebut. Ketika saat-saat akhir, arwah tidak lagi mampu bercakap dan doktor telah memaklumkan lebih awal mengenai keadaan kritikalnya.

Sepanjang tempoh sakit, Andre yang juga anak sulung daripada tiga beradik tetap menunjukkan sikap positif dan ceria walaupun bergelut dengan kanser paru-paru tahap tiga sebelum penyakitnya menjadi semakin serius. Jenazah Allahyarham dijadualkan disolatkan di Masjid Al-Khairiah AU3 sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada pagi Selasa.

Kredit: mStar

 

 

 

[fbcomments]