Jeritan isteri dan anak-anak dalam api yang marak sebelum beransur-ansur menghilang menjadi kisah 1 Syawal paling memilukan buat Othman Ali, 64.
“Saya terbangun apabila terdengar suara isteri dan anak menjerit meminta kami keluar menyelamatkan diri kerana rumah terbakar. Saya cuba membantu tetapi gagal kerana api marak sebelum suara mereka tidak lagi kedengaran.”
Isterinya bersama empat orang anaknya terkorban selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Binsuluk.
Othman dan seorang lagi anak lelakinya selamat. Manakala menantunya melecur di kaki.
Isteri sedang menyiapkan juadah hari raya
Menceritakan kejadian itu, Othman berada di bilik di tingkat bawah yang dijadikan pejabat manakala isterinya menyiapkan juadah untuk menyambut hari raya.
“Saya terlelap ketika berada di bilik pejabat sebelum terjaga apabila mendengar jeritan isteri dan anak meminta kami menyelamatkan diri. Saya bangun dan cuba menyelamatkan mereka kerana masih dapat mendengar suara isteri dan anak.”
“Ketika cuba membuka bilik, suara isteri dan anak sudah tidak kedengaran. Saya cuba memadamkan api namun kebakaran terus marak.”
“Berat dugaan ini, namun ini ujian Allah dan saya terima qada dan qadar,” katanya.