Baru-baru ini tular sebuah perkongsian di Facebook oleh Che Ainun Nasihah Ismail mengenai abangnya, Ed, yang baru sahaja bergelar guru pada usia 37 tahun, menarik perhatian ramai warganet.

Perkongsian itu menyorot perjalanan hidup Ed yang penuh cabaran sejak kecil, termasuk mengalami masalah perkembangan dan digelar “slow learner”, serta mengalami gagap yang teruk.

Ketabahan Luar Biasa, Ed Bergelar Guru Setelah Melalui Cabaran Sejak Kecil

Menurut Ainun, Ed lahir secara songsang, menyebabkan beliau mengalami beberapa kesukaran dari segi perkembangan. Semasa kecil, dia sering hilang dalam dunianya sendiri dan menghadapi gangguan fizikal serta mental daripada rakan sebaya, malah kejadian buli berlaku walaupun bapanya bekerja sebagai guru di sekolah yang sama.

“Dia bukan tak cuba… dia cuma perlahan. Tapi perlahan itu pun dia teruskan juga, walaupun dunia tak pernah tunggu dia,” tulis Ainun dalam perkongsiannya.

Perjalanan akademik Ed penuh liku. Beliau mengambil SPM sebanyak sepuluh kali sebelum berjaya menamatkan peperiksaan tersebut. Dalam satu perkongsian, Ed memberitahu ibunya bahawa itu mungkin percubaan terakhirnya. Walau bagaimanapun, semangatnya tidak luntur.

Selepas SPM, Ed meneruskan pengajian dengan dua percubaan STPM, berjaya memperoleh ijazah, dan seterusnya melengkapkan Diploma Lepasan Ijazah (DPLI) untuk menjadi seorang pendidik. Sepanjang tempoh itu, beliau bekerja sendiri bagi menampung kehidupan, termasuk menjadi pengawal keselamatan di hospital, menjaga sekolah dan rumah orang tua, serta membantu bapanya di sawah padi.

Satu detik yang paling menyentuh hati berlaku selepas sesi temu duga jawatan guru apabila panel bertanya tentang kad Orang Kurang Upaya (OKU) Pembelajaran yang dimiliki Ed. Beliau menjawab dengan jujur mengenai keadaan dirinya dan menangis selepas keluar dari bilik temu duga kerana lega dan bersyukur atas peluang yang akhirnya tiba. Ainun menjelaskan bahawa tangisan itu bukan kerana kesedihan, tetapi rasa kemenangan dan kelegaan selepas melalui perjalanan panjang yang penuh cabaran.

Sepanjang perkongsian itu, Ainun turut menyamakan abangnya dengan watak Forrest Gump, seorang yang tetap menjadi dirinya sendiri tetapi mampu mencipta kejayaan melalui ketabahan dan usaha keras.

“Dia tetap abang yang sama. Tapi perjalanan dia yang berbeza. Forrest Gump pun tetap Forrest Gump… cuma dia lalu jalan yang orang lain tak sanggup lalu. Orang boleh tolong, tapi kalau dia sendiri tak buka pintu, kita tak boleh masuk. Abang saya buka pintu itu sendiri,” tulis Ainun lagi.

Kredit: Facebook Che Ainun Nasihah Ismail

 

[fbcomments]