Seorang penuntut universiti di Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan berkaitan perbuatan mencemar al-Quran dan memuat naik hantaran komunikasi yang didakwa bersifat jelik melampau.
![]()
Penuntut UMPSA Mengaku Tidak Bersalah Cemar al-Quran, Muat Naik Hantaran Jelik
Tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan kira-kira jam 9 pagi dengan kawalan keselamatan yang ketat. Beliau yang memakai pakaian berwarna merah dan tempoh remannya berakhir pada hari ini, diiringi beberapa anggota polis ke Mahkamah Sesyen yang terletak di tingkat satu bangunan berkenaan. Kehadirannya di kompleks mahkamah itu turut menarik perhatian orang awam yang berada di lokasi berkenaan.
Kes tersebut sebelum ini tular di platform media sosial Threads, membabitkan dakwaan menghina Islam dengan memijak al-Quran serta penggunaan tidak wajar kemudahan internet. Tertuduh yang juga penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah ditahan pada 25 Februari lalu bagi membantu siasatan.
![]()
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan semalam memaklumkan pelajar terbabit didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek yang dianggap suci, iaitu al-Quran, dengan memijaknya dalam keadaan mengetahui perbuatan itu merupakan satu penghinaan terhadap agama Islam. Peruntukan tersebut membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan satu hantaran komunikasi yang disifatkan sebagai jelik melampau dengan niat menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Threads. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
![]()
Semalam, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan bahawa sebanyak 82 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung isu berkenaan. Hasil siasatan mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk mencadangkan pertuduhan terhadap individu terbabit.
Kredit: Berita Harian