fbpx

Bagi mengurangkan pergerakan orang awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang dilaksanakan mulai 1 hingga 14 April ini, polis Selangor telah memaklumkan lebih banyak jalan di negeri itu akan ditutup secara berperingkat.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed, setakat ini empat hingga lima jalan di Kota Damansara dan Petaling Jaya ditutup sejak beberapa hari lepas, dan penutupan sebahagian lagi laluan di kawasan lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Walaupun langkah itu dilihat akan menyusahkan masyarakat di kawasan terlibat, namun ia bagi memastikan kawalan pergerakan, dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Kita ada terlalu banyak jalan, nak tutup semua memang kita tak boleh buat. Jadi kita tutup sebahagian saja yang mana menerusi laluan itu, polis boleh buat tapisan dan kawal pergerakan mereka.

“Memang PKP membenarkan orang awam keluar membeli barangan keperluan, namun ia tidak harus disalah gunakan. Misalnya, jika tinggal di Kota Damansara, beli sahaja keperluan asas di situ, tidak perlu bagi alasan nak beli barang di Kepong,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Sekali lagi kami ingin mengingatkan anda semua agar keluar rumah sekiranya perlu sahaja, iaitu bagi mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan. Hadkan pergerakan anda dan jangan lupa sekarang ini sudah ada peraturan satu kereta, seorang sahaja (iaitu hanya pemandu sahaja). Anda boleh mencuba perkhidmatan penghantaran barangan ke rumah dan paling penting, jaga kebersihan, kesihatan dan keselamatan anda serta orang di sekitar anda.

[fbcomments]