Sebelum ini, Malaysia digemparkan dengan berita dua pasangan dari Rusia yang dilaporkan menceroboh dan memanjat puncak menara Merdeka 118.
Belum lagi kemarahan netizen surut akibat perbuatan itu, kini tular sebuah lagi video yang menunjukkan pencerobohan menara tersebut oleh sekumpulan content creator dari Amerika Syarikat pula.
Menerusi Youtube Driftershoots, video yang dimuatnaik pada 30 Disember lalu menunjukkan sekurang-kurang empat orang lelaki telah menyelinap ke tapak bangunan itu dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.
Di dalam video berdurasi 7 minit 18 saat itu, mereka berjaya masuk ke situ dengan memotong jaring keselamatan sebelum memanjat ke puncak bangunan itu.

Kapsyen video tersebut tertulis, “Sebelum ini saya dan tiga lagi rakan telah ke Kuala Lumpur untuk memanjat dan mengambil gambar Menara Merdeka 118, bangunan kedua tertinggi dunia dengan 679 meter ketinggian.”
“Perjalanan tersebut sukar dan panjang dan ada berkemungkinan berakhir dengan penjara. Jadi kami tahu, kami berhadapan risiko yang besar”
“Perjalanan tersebut berakhir dengan jayanya dan saya anggap ini sebagai anugerah untuk berkongsi rakaman video ini pada hujung tahun 2022.”
Mereka juga mengatakan tindakan mereka hanyalah luahan artistik bebas yang dilakukan demi cinta dan bukan untuk menggalakkan sesiapa pun meniru tindakan tersebut.
Dalam video tersebut juga diselitkan adegan mereka meraikan kejayaan selepas menawan Menara 118 di bilik hotel mereka.

Bulan lalu, pasangan Rusia Angela Nikolau dan Ivan Beerkus, menceroboh dan menawan puncak menara kedua tertinggi di dunia itu.

Nikolau dalam perkongsian di Twitter, mendakwa menyamar sebagai pekerja binaan yang bertudung ketika menyelinap masuk bangunan itu, sebelum memanjat selepas pekerja pulang. Namun, cara Beerkus sampai ke puncak tidak disebutkan.
Sumber: Berita Harian, Youtube