Seorang wanita dilaporkan maut selepas motosikal ditunggang bersama kakaknya dirempuh oleh sebuah kereta yang dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun pada Ahad, semalam.
Mangsa Meninggal Dunia, Manakala Kakak Mangsa Cedera Di Beberapa Bahagian
Berdasarkan sumber yang dipetik dari Buletin TV3, mangsa iaitu Nur Shafiqah Abdullah, 32, yang juga merupakan seorang peniaga telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan. Manakala kakaknya pula iaitu Nooraliza Abdullah, 43, mengalami kesakitan di bahagian dada, pinggang dan kaki kiri.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Syed Basri Syed Ali, kemalangan tersebut berlaku pada jam 7.05 malam yang membabitkan sebuah motosikal Honda Wave bersama sebuah kereta jenis Proton Satria. Beliau memaklumkan bahawa motosikal yang ditunggangi mangsa dari lampu isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah, sementara kereta Proton Satria pula dari arah bertentangan.
“Pemandu kereta itu hilang kawalan melanggar pembahagi tengah jalan lalu memasuki jalan bertentangan terus merempuh motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa. Kejadian berlaku ketika cuaca hujan dan jalan basah”, jelasnya.
Suspek Tidak Mempunyai Lesen Dan Tidak Bersekolah. Pandu Kereta Milik Rakan Ibunya
Tambah Syed Basri lagi, suspek merupakan seorang remaja perempuan yang tidak bersekolah dan tidak bekerja, dipercayai memandu kereta milik rakan ibunya. Hasil siasatan mendapati bahawa remaja terbabit tidak memiliki lesen dan hanya mengalami luka di bahagian hidung dalam kejadian itu.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saman turut dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan remaja bawah umur memandu tanpa pengawasan.
Kredit: Buletin TV3