Tindakan tidak berwaspada seorang penunggang motosikal mengundang kecaman ramai apabila individu terbabit melanggar seorang pelajar yang sedang melintas jalan di hadapan sebuah sekolah dalam satu kejadian yang tular baru-baru ini.
![]()
Video di bawah:
https://www.facebook.com/share/v/1FjG8vk1Kj/
Rempuh Pelajar Di Hadapan Sekolah, Penunggang Motosikal Abaikan Isyarat Bendera Merah
Insiden berkenaan dipercayai berlaku ketika waktu tamat sesi persekolahan dan dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) milik salah seorang pengguna jalan raya berhampiran lokasi kejadian.
Rakaman tersebut menunjukkan beberapa kenderaan telah memberhentikan kenderaan masing-masing selepas pengawal keselamatan sekolah mengangkat bendera merah sebagai isyarat agar pengguna jalan memberi laluan kepada pelajar menyeberang. Namun begitu, seorang penunggang motosikal yang turut berpakaian sekolah dilihat tidak mematuhi isyarat tersebut, sebaliknya terus bergerak lalu merempuh mangsa di kawasan lintasan pejalan kaki.
![]()
Akibat pelanggaran itu, kedua-dua pelajar terjatuh ke bahu jalan. Keadaan mangsa bagaimanapun masih belum dapat dipastikan, sama ada mengalami kecederaan serius atau sebaliknya.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan warganet yang rata-ratanya menganggap tindakan penunggang berkenaan sebagai cuai dan membahayakan keselamatan orang lain. Banyak pihak turut menyuarakan gesaan agar tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa terhadap individu yang terlibat.
Setakat artikel ini ditulis, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan daripada pihak berwajib berhubung kejadian tersebut.
Kredit: FB Wazi Abdul Hamid, Majoriti Official