Usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai Ridzokumura tampil berkongsi kejadian sebenar yang menimpa isterinya, Allahyarham Akiko Okumura, yang disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari kediaman mereka di sebuah kondominium di SS16 baru-baru ini.

Video di bawah:

https://vt.tiktok.com/ZSM9TpVLu/

Ridzokumura Kongsi Detik Cemas Isteri Terjatuh Dari Tingkat Empat Kondominium

Menurut Ridzuan, insiden itu berlaku sekitar jam 1 pagi apabila dia terdengar bunyi dentuman kuat namun tidak menyangka ia berpunca daripada isterinya. Katanya, hanya selepas menyedari keadaan luar biasa pada keesokan pagi, dia mula berasa tidak sedap hati sebelum melakukan pemeriksaan di bilik tidur mereka.

“Biasanya kalau ada apa-apa bunyi pelik, saya akan periksa bersama arwah. Tapi malam itu saya terlalu penat dan terus tidur. Keesokan paginya, suasana rumah terasa lain sebab arwah tak siapkan sarapan seperti biasa,” katanya.

Tambah Ridzuan, rasa curiga mendorongnya memeriksa sekitar rumah sebelum mendapati tingkap bilik tidur mereka dalam keadaan terbuka dan mengalami kerosakan.

“Saya terus turun dan melalui bilik air utama sebelum panjat keluar tingkap. Dari situ, saya nampak arwah terbaring dalam keadaan meniarap di atas tanah. Saya segera hubungi pengawal keselamatan untuk bantu panggil ambulans dan polis,” jelasnya.

Ridzuan berkata, sewaktu kejadian dia tidak berani menggerakkan badan isterinya kerana menyangka arwah masih bernyawa berdasarkan keadaan fizikal yang dilihat ketika itu.

Terdahulu, polis mengesahkan wanita warga Jepun berusia 50 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terjatuh dari tingkat empat kediaman mereka. Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihak berkuasa telah memanggil Ridzuan bagi membantu siasatan lanjut.

Jenazah Allahyarham Akiko disemadikan mengikut prosedur yang ditetapkan, manakala keluarga serta rakan terdekat memohon doa agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Kredit: TikTok ridz_okumura02

 

 

[fbcomments]