Sebuah rakaman video yang dikongsi oleh seorang wanita di media sosial baru-baru ini mencetuskan perhatian orang ramai apabila memaparkan keadaan sebuah premis kedai makan terkenal di Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands yang didakwa mengalami hakisan tanah serius.
Rakaman dron tersebut menimbulkan kebimbangan, khususnya berkaitan tahap keselamatan kawasan berkenaan kepada pengunjung.
@yufara_ No comment for this video 😪 tkde niat nak tutup periuk nasi sesiapa, tapi korang boleh fikir2kan ape yg patut 😑 memang bersyukur sgt Allah masih lindung time tuu. Kalau tahu memang dri awal takkan stop kt situ for take a some view 🥹 tempat dah lawa tapi korang rasa mcm mna 🥹 #tanahruntuh #cameronhighland #cameronhighlands
♬ Nature and its beauties – rest of the soul & soul frequency
Kedai Makan Simpang Pulai Diarah Tutup Sementara Demi Keselamatan
Dalam perkongsiannya, wanita itu menegaskan rakaman tersebut dibuat bukan untuk menjejaskan sumber rezeki peniaga, sebaliknya atas dasar keprihatinan terhadap keselamatan orang awam. Dia turut meluahkan rasa syukur kerana tidak berlaku sebarang kejadian buruk ketika berada di lokasi itu dan mengakui sekiranya mengetahui keadaan sebenar lebih awal, dia tidak akan singgah meskipun kawasan tersebut kelihatan menarik.
Mengulas isu yang tular itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengesahkan bahawa cerun runtuh di Seksyen 45.9, Laluan Persekutuan 185 (FT 185: Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands) berkenaan tidak berada di bawah seliaan atau rizab Jabatan Kerja Raya (JKR). Menurut beliau, kawasan kejadian sebenarnya terletak di Kompartmen 31, Hutan Simpan Bukit Kinta, dan hasil semakan awal mendapati lokasi tersebut merupakan kawasan tanah tambak yang berisiko tinggi untuk berlaku kejadian tanah runtuh.
![]()
Sehubungan itu, JKR menasihatkan supaya lokasi berkenaan ditutup daripada sebarang aktiviti bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Mohammad Nizar menjelaskan bahawa tindakan penutupan tersebut berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Perak serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan tanah runtuh itu terletak berhampiran dengan kedai makan yang beroperasi di situ, yang sebelum ini telah diberikan kelulusan Permit Penggunaan bagi tujuan sewaan tapak kedai makan dan minum seluas 0.4 hektar. Permit tersebut berkuat kuasa mulai 16 Mei 2025 hingga 31 Disember 2025 dan dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak.
![]()
Menurutnya lagi, Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan mengeluarkan notis penutupan kepada pemegang permit bermula 26 Disember 2025 selama tempoh satu bulan, sementara siasatan lengkap dijalankan. Langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terpelihara, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti laluan berbukit dan tanah tinggi.
Kredit: MG Perak, TikTok yufara_