Genap sebulan selepas tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India yang mengorbankan seorang wanita, anak lelaki kepada mangsa dilihat kembali ke lokasi kejadian dengan membawa satu pastik berisi bunga sebagai tanda penghormatan buat ibunya yang hilang.
@sarvaessrashbinrajappa
Anak Mangsa Tanah Jerlus Bawa Bunga Ke Lokasi Kejadian
Dalam video yang tular di media sosial, M. Suria, anak kepada mangsa yang dikenali sebagai G. Vijaya Lakshmi, 48, dilihat berwajah sayu ketika berdiri di lokasi kejadian di mana ibunya terjatuh ke dalam lubang yang terbentuk akibat tanah jerlus. Sehingga kini, mayat ibunya masih belum ditemui walaupun usaha pencarian telah giat dijalankan.
Suria yang berusia 25 tahun membawa bunga ke tempat tragedi itu, sebelum melemparkannya ke dalam lubang sambil kelihatan sugul dan meninggalkan tempat tersebut sambil mengesat air mata. Insiden ini meninggalkan kesan yang mendalam bukan sahaja kepada keluarganya, tetapi juga kepada warganet yang turut bersimpati.
Difahamkan, video yang dimuat naik pada 22 September 2024 itu mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, terutamanya rakyat Malaysia yang menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Banyak komen memberikan kata-kata semangat agar mereka tabah menghadapi dugaan ini dan mendoakan agar mangsa dirahmati Tuhan.
![]()
Untuk makluman, pada 23 Ogos 2024, insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India telah mengejutkan orang ramai apabila G. Vijaya Lakshmi, seorang wanita warganegara India, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang besar yang terbentuk secara tiba-tiba.
Mangsa yang datang ke Malaysia bersama keluarganya ketika itu sedang berjalan menuju ke rumah ibadat sebelum kejadian tersebut berlaku.
Selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, pihak berkuasa terpaksa menghentikan usaha tersebut atas faktor risiko keselamatan yang tinggi. Walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan, tiada sebarang petunjuk atau jejak yang dapat ditemui tentang mangsa.
Akhirnya, pihak keluarga yang pulang ke India terpaksa menerima hakikat bahawa usaha pencarian telah ditamatkan tanpa sebarang perkembangan positif.
Kredit: TikTok sarvaessrashbinrajappa