Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) menerima hadiah istimewa sempena sambutan Hari Guru apabila Persatuan Bekas Pelajar SESMA (My SESMA) menyerahkan sebuah bas dan membiayai pembinaan surau baharu hasil kutipan dana alumni.
Sumbangan itu disampaikan oleh Presiden My SESMA, Datuk Mohd Zuber Embong kepada Pengetua SESMA, Hayati A Rahman dalam satu majlis di sekolah berkenaan.
![]()
Bekas Pelajar SESMA Sumbang RM2 Juta Untuk Bas Dan Surau Baharu
Menurut Datuk Mohd Zuber, bas baharu bernilai RM670,000 itu dibeli hasil kutipan dana selama 22 bulan, bermula Februari 2023. Sepanjang tempoh itu, My SESMA berjaya mengumpul sebanyak RM2 juta hasil sumbangan orang ramai serta beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Cadangan awal jawatankuasa My SESMA melancarkan kutipan derma termasuk menganjurkan malam gala adalah untuk pembinaan surau baharu yang boleh menampung kira-kira 250 jemaah,” katanya.
Beliau berkata, tempahan bas telah dibuat pada Februari lalu dan walaupun sebahagian dana digunakan untuk pembelian itu, projek pembinaan surau baharu tetap diteruskan tanpa sebarang halangan.
![]()
“Walaupun sebahagian daripada dana digunakan untuk membeli bas, projek pembinaan surau baharu tidak terjejas. Surau baharu sekolah dijangka dapat digunakan sepenuhnya Ogos depan.
“Bas baharu dan surau adalah hadiah istimewa daripada My SESMA kepada pihak sekolah sempena sambutan Hari Guru 2025,” tambahnya.
Sumbangan dua kemudahan tersebut disifatkan sebagai tanda penghargaan bekas pelajar terhadap jasa guru-guru yang pernah mendidik mereka, selain sokongan berterusan kepada pembangunan sekolah.
Kredit: Berita Harian