Kesemua anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan tragis pada 13 Mei lalu kini telah dibenarkan keluar dari hospital setelah menjalani rawatan intensif.
![]()
Semua Anggota FRU Terlibat Nahas Teluk Intan Telah Dibenarkan Pulang
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin, mengesahkan bahawa dua anggota terakhir, Sarjan Mazlan Mat, 50, dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39, telah dibenarkan pulang pada petang Jumaat selepas 18 hari menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Sebelum itu, Koperal Haslizal Mohd Ali, 44, dan Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, masing-masing telah dibenarkan keluar pada 29 dan 28 Mei setelah menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
![]()
“Dengan perkembangan ini, semua sembilan anggota yang dirawat telah dibenarkan pulang dan kini dalam tempoh cuti sakit untuk proses pemulihan,” ujar Dr. Bakri.

Kemalangan yang berlaku di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan, melibatkan trak FRU yang dirempuh oleh lori muatan batu yang mengalami kegagalan fungsi stereng. Insiden tersebut mengorbankan sembilan anggota FRU, manakala sembilan lagi mengalami kecederaan.
Dr. Bakri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat dan pemulihan, termasuk hospital, pasukan bomba, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta orang awam.
Kredit: Buletin TV3, Sinar Harian