Tindakan berbahaya sepasang kekasih yang cuba melarikan diri daripada polis dengan memandu secara melulu dan melawan arus akhirnya membawa padah apabila mereka berjaya diberkas selepas dikejar sejauh 96 kilometer oleh 14 unit MPV polis.
![]()
Pasangan Kekasih Dikejar 14 MPV Polis Sejauh 96KM, Didapati Positif Dadah & Simpan Syabu
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi Rabu, pihak polis mengesan sebuah Proton Wira dipandu lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahannya untuk pemeriksaan. Namun, suspek enggan memberi kerjasama dan memecut laju, menyebabkan pihak polis terpaksa melancarkan operasi mengejar selama lebih sejam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, aksi kejar-mengejar itu melibatkan laluan berisiko tinggi termasuk Lebuhraya Pasir Gudang, Perling, Lebuhraya Utara-Selatan, EDL, pusat bandar Johor Bahru dan berakhir di Tanjung Langsat.
Pemeriksaan lanjut mendapati suspek lelaki dan teman wanitanya yang berusia 34 tahun disahkan positif dadah jenis methamphetamine. Turut ditemui dalam kenderaan mereka ialah syabu seberat 0.45 gram.
![]()
Lebih memburukkan keadaan, siasatan mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah dan cukai jalan kenderaan tersebut juga telah tamat tempoh. Semakan lanjut turut menunjukkan kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kini, kedua-dua suspek telah direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut beberapa seksyen undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan beberapa seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan serta Akta Dadah Berbahaya.
Kredit: Sinar Harian