Semalam telah kecoh di media sosial apabila penyanyi Tomok berkongsi dia terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM 5,593 apabila anaknya secara tidak sengaja menumpahkan pewarna kuku di baju dan seluar di sebuah butik pakaian berjenama.
Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 39 terpaksa mengambil langkah untuk menampung kerugian tersebut dengan menjual barangan tersebut di Instagram pada pagi Isnin.

Sambutan memberangsangkan
Apa yang memeranjatkan, pakaian tersebut habis terjual dalam tempoh sejam selepas dia memuatnaik video tentang harga pakaian tersebut. Penyanyi itu berasa bersyukur kerana hasil jualan tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit kerugian yang dialaminya.
Menurutnya, antara pembeli pakaian tersebut adalah pengikutnya dari Johor selain kawan-kawannya.
“Dapatlah semula pulangan RM 3,000 lebih. Memanglah rugi sikit tapi tidaklah rasa terlalu berat sangat mengeluarkan duit malam tadi,”katanya kepada mStar.
Tomok telah membuat diskaun untuk baju-baju tersebut termasuklah menyertakan sekali kos pembungkusan dan penghantaran.
“Saya ada empat helai seluar saiz daripada 30 hingga 33, harganya RM 1,299 tapi saya nak jual dengan harga RM800 sehelai.”
“Baju ini pula harganya RM499, saya nak jual dengan harga Rm300 sehelai dan satu lagi baju harga asalnya RM499, saya nak jual dengan harga RM250,”katanya.
Tomok berkata dia tidak menyangka akan mendapat sokongan rakan artis yang turut berkongsi video jualan tersebut di Instagram.
Jadikan pengajaran
Selain itu, Tomok juga bersyukur kerana dapat membayar kerugian tersebut dan perkara itu menjadi pengajaran buatnya.
“Mujurlah nilai semalam saya mampu bayar. Kalau di butik yang barangan berharga puluhan ribu, tak tahulah apa akan jadi.”
“Apa yang berlaku jadi pengajaran buat saya supaya lebih berhati-hati. Dalam masa sama video yang saya kongsikan sebelum ini juga boleh jadi manfaat kepada ibu bapa lain,”tambahnya.
Sumber: mStar, Instagram Tomok