Tragedi menyayat hati berlaku di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub apabila lima beranak ditemukan maut dalam kebakaran rumah mereka awal pagi Khamis. Mangsa yang terkorban membabitkan pasangan suami isteri bersama tiga anak perempuan mereka.
![]()
Lima Sekeluarga Rentung Dalam Kebakaran Rumah Di Raub
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 3.35 pagi dan sebaik api dipadamkan, kesemua mangsa ditemukan rentung di dalam rumah berkenaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi. Jentera pertama tiba pada jam 4.15 pagi dan mendapati rumah separuh kekal berkeluasan 40×30 kaki persegi itu musnah sepenuhnya. Kebakaran turut memusnahkan tiga buah kereta dan tiga motosikal.
![]()
Operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki pam jentera, diketuai Pegawai Bomba Kanan Saiful Bahari Abd Rahman bersama sembilan anggota BBP Raub serta lima anggota bantuan dari BBP Lipis.
Dalam pada itu,YB Tuan Fadzli Kamal meluahkan rasa dukacita atas kejadian tersebut dan memaklumkan beliau bergegas ke lokasi sejurus selepas solat Subuh bagi meninjau keadaan. Menurutnya, mangsa yang terkorban dipercayai ialah Allahyarham Mohd Alawi, isterinya dan tiga anak perempuan mereka.
![]()
Dua lagi anak pasangan itu, Ahmad Balia Murqam yang belajar di SMK Dong serta Ruby Adalia Balqis yang menuntut di Kolej Matrikulasi Pahang, Gambang, tidak berada di rumah ketika kejadian. Fadzli turut memaklumkan beliau sempat bertemu Allahyarham Mohd Alawi pada hari pertama Ramadan lalu.
Kredit: Sinar Harian, FB Fadzli Kamal