Baru-baru ini tular di media sosial mengenai video seorang wanita yang didakwa terakam bunyi suara misteri seperti merayu dan meraung meminta tolong di tanah perkuburan.
Video saya duduk di atas jengkaut dengan latar belakang tanah perkuburan itu dirakam tanpa sengaja dan saya tidak sangka ia akan tular hingga menjadi bualan warganet.
Siti Natrah, 30, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai video yang dimuat naik di Facebook (Fb) miliknya.
Banyak faktor pengaruhi penghasilan bunyi
Walau bagaimanapun, kenyataan itu disangka oleh Profesor Madya Ainuddin Wahid Abdul Wahab, selaku Ketua Unit Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya (UM) .
Menurut Ainuddin, peranti elektronik yang mempunyai fungsi merakam audio memang sensitif dan boleh menangkap bunyi dengan mudah.
Justeru, Ainuddin berkata, tidak mustahil adanya bunyi lain ketika sesuatu rakaman dilakukan dan salah satu sebab terhasilnya bunyi dalam rakaman yang tular itu adalah kerana kedudukan wanita berkenaan yang duduk di atas jengkaut.
Jika diperhatikan, wanita itu duduk di atas jengkaut dan berdasarkan kenyataannya, angin bertiup kuat.
Jadi, ada kemungkinan bunyi itu datang daripada angin yang bergesel dengan permukaan cermin atau besi pada kenderaan berkenaan.

Ainuddin berkata, kemungkinan lain menyebabkan terhasilnya bunyi berkenaan adalah kerana video itu dirakam di kawasan lapang.
Video itu dirakam di kawasan tanah perkuburan yang luas dan lapang.
Maka, banyak bunyi boleh terhasil termasuk gema suara jeritan atau sebagainya jika lokasi itu terletak berhampiran dengan kawasan perumahan.
Berdasarkan pengamatan saya, bunyi itu kemungkinan terhasil kerana faktor persekitaran dan tidak pasti jika ada elemen lain yang mempengaruhinya.
Boleh dengar suara dari alam lain
Sekiranya seseorang itu boleh mendengar (suara dari alam lain), kemungkinan ia adalah anugerah daripada Allah SWT.

Demikian kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman ketika diminta mengulas rakaman video tersebut.
Abdul Rahman berkata, umat Islam tidak wajib untuk mempercayai kebenaran video berkenaan kerana tiada bukti menunjukkan kesahihannya.
Namun, tidak mustahil untuk seseorang itu mendengar jika diizinkan Allah SWT. Seksa kubur itu benar dan berdasarkan satu hadis ada dinyatakan orang beriman akan memohon disegerakan urusan pengebumian mereka.
Manakala, sebaliknya bagi yang kufur dan rayuan si mati sebelum dikebumikan boleh didengari makhluk lain seperti haiwan kecuali manusia.
Ini kerana manusia akan ketakutan dan pengsan jika mendengarnya. Apa yang pasti, semuanya berlaku dengan izin Allah.
Mufti tersebut turut berkata, tidak menjadi kesalahan untuk berkongsi video seumpama itu jika niatnya untuk memberi keinsafan sesama insan.