Semalam kecoh dalam Dewan Rakyat mengenai perbahasan oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing membabitkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam perbahasan tersebut, beliau mendakwa Dr Noor Hisham ‘takut mati’ kerana tidak turun sendiri ke Sabah untuk melihat situasi wabak Covid-19 di negeri itu.
Dr Hisham di dakwa takut mati
Disebabkan kenyataan tersebut, telah berlaku ketegangan di kalangan Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakan itu.
King Sing membangkitkan isu Ketua Pengarah Kesihatan tidak turun padang dan hanya membuat sidang akhbar harian untuk mendapatkan publisiti.
DG (Dr Noor Hisham) hari-hari buat berita, bagi ‘Office Boy’ (budak pejabat) boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang… Macam di Kota Kinabalu, Sabah begitu teruk pandemik COVID-19.
Kenapa dia tidak melawat setiap hospital, berbincang dan beri sokongan kepada frontliners. Jangan hantar doktor, jururawat saja pergi sebab itu orang (mereka) tidak takut mati, tapi DG takut mati.
Tambah beliau lagi, kenyataannya itu bukan satu kesalahan pun dan dia hanya menyampaikan apa yang dinyatakan oleh rakyat serta anggota barisan hadapan apabila beliau diarah untuk menarik semula kenyataan tersebut.
Saya tidak mahu tarik balik, apa salah saya cakap DG (Ketua Pengarah) ini takut mati sebab itu yang ‘frontliner’ nyatakan kepada saya. Saya hanya tanya bagi pihak ‘frontliner’.
Terima kematian di mana-mana
Walau bagaimanapun, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah tampil mengulas dakwaan tersebut dengan menyatakan:
Tidak timbul isu takut mati. Sebagai orang Islam kita terima kematian di mana-mana ia akan berlaku, bukan hanya turun padang atau tidak.
Jadi, apa yang penting adalah kita pasangkan niat kita untuk melaksanakan tugas.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tidak timbul isu takut mati atau sebaliknya kerana apa yang beliau dan pasukannya lakukan ketika ini adalah dengan niat untuk memutuskan rantaian COVID-19.
Kementerian Kesihatan telah pun membuat perancangan khusus di Sabah dan saya sendiri turun padang pada akhir Ogos lalu untuk melihat pengurusan kesiapsiagaan kita dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.
Kita boleh berselisih pendapat, tetapi…..
Tegas Dr Noor Hisham, yang lebih penting adalah niat untuk melaksanakan tugas dan memutuskan rantaian COVID-19 dalam negara yang diamanahkan kepadanya.

Niat kita adalah untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara kita. Dan inilah tujuan utama untuk kita.
Kita boleh berselisih pendapat, tetapi yang pasti apa yang kita laksanakan ialah untuk memutuskan jangkitan Covid-19 supaya kita dapat selamatkan negara kita daripada peningkatan kes Covid-19 dan juga kadar kematian.
Sudah buat yang terbaik
Isu ini turut menarik perhatian seorang agamawan yang menyandang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta merupakan seorang mantan Mufti Wilayah Persekutuan ke-7 iaitu Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pandangan saya KP Kesihatan sudah buat yang terbaik, sesuai dengan posisi beliau.
KP Kesihatan adalah antara individu terpenting dalam usaha memerangi pandemik COVID-19. Saya yakin, kita semua bersetuju bahawa beliau perlu kekal sihat, bersemangat dan terus berjuang bersama-sama semua barisan hadapan demi maslahah Negara.
Saya teringat sebuah kisah berkaitan Sahabat Nabi SAW, Abu Ayyub al-Ansari radhiallahu ‘anhu. Diriwayatkan ketika tentera Muslim berperang dalam rangka menawan kota Konstantinopel, mereka berhadapan dengan jumlah tentera Rom yang amat ramai.
Ada dalam kalangan tentera Muslim itu, seorang pahlawan yang menawarkan diri untuk menyusup masuk bersendirian dalam pasukan tentera Rom walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan, “Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam Al Quran, “Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan?”
Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan
(Surah Al-Baqarah: 195)
Muslim tidak takut mati
Kisah ini sentiasa tersemat di hati saya dan menjadi pegangan hidup saya. Sekali kita berjuang, menegakkan prinsip dan kebenaran, apatah lagi perjuangan untuk keselamatan dan keamanan Negara, kita tidak akan berundur!
Saya percaya, itulah semangat KP Kesihatan, jua seluruh barisan hadapan. Tak ada apa-apa yang boleh mengganggu fokus kita dalam usaha ini. Justeru, tidak timbul isu “takut mati”.
Konsep kematian dalam Islam amat mudah. Kami yakin kematian akan menjengah bila-bila masa. Hanya Allah SWT sahaja yang Hidup Kekal dan tidak mati. Hanya Dia Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa Yang Kekal Abadi. Muslim tidak takut mati tetapi kami sentiasa digalakkan untuk mengingati mati.


Apa yang kami risau dan takutkan adalah, adakah amalan kami cukup untuk menjadi bekalan bertemu Pencipta kita semua di alam sana? Kerana itulah Muslim yang sebenar, mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain.
Sabda Rasulullah SAW: خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (Riwayat Ahmad)Moga kita menjadi insan yang sentiasa memberi manfaat kepada yang lain.