Satu insiden tembakan di Jalan Rasah, berhampiran Plaza Tol Port Dickson semalam mengakibatkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika kedua-dua mangsa berada dalam sebuah Perodua Myvi sebelum mereka dikejarkan ke Hospital Tunku Jaafar (HTJ) oleh orang awam yang berada di lokasi.
![]()
Mangsa Tembakan Mempunyai 15 Rekod Jenayah, Seorang Maut Seorang Parah
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, mangsa yang berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di zon kecemasan. Lelaki itu dipercayai bertugas sebagai pengawal peribadi kepada mangsa kedua yang kini sedang menerima rawatan akibat kecederaan serius.
Siasatan awal pula mendapati salah seorang mangsa mempunyai 15 rekod lampau melibatkan pelbagai kesalahan jenayah.
![]()
Pemeriksaan pihak polis di tempat kejadian menemui beberapa kelonsong peluru serta tompokan darah di atas jalan. Berdasarkan maklumat awal, tembakan dipercayai dilepaskan oleh dua suspek yang menaiki motosikal, namun identiti mereka masih belum dikenal pasti.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 susulan penggunaan senjata api dalam kejadian itu.
Kredit: Berita Harian