Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tampil memohon maaf selepas menerima teguran daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung promosi produk nikotin yang dimuat naik di media sosialnya.
Datuk Siti Nurhaliza Mohon Maaf, Padam Hantaran Promosi Produk Nikotin
Perkara itu mendapat perhatian Public Health Malaysia (PHM), yang menegaskan bahawa produk berkenaan bukan sahaja bersifat ketagihan, malah boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan jantung serta mempengaruhi golongan muda untuk mencubanya. Tambahan pula, produk tersebut dilaporkan tidak berdaftar dan penjualannya tidak dibenarkan di Malaysia berdasarkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Menyedari kesilapannya, Siti Nurhaliza mengakui khilafnya kerana memuat naik hantaran tanpa melakukan penelitian terlebih dahulu mengenai produk tersebut. Dalam satu kenyataan, penyanyi itu menzahirkan rasa kesal dan mengucapkan terima kasih atas teguran yang diberikan.
“Saya sedar ini adalah kesilapan saya kerana tidak menyelidik dengan lebih mendalam mengenai produk tersebut. Saya mohon maaf atas kekhilafan ini,” katanya.
Sebagai langkah bertanggungjawab, beliau turut memadam hantaran berkenaan dan berterima kasih kepada pihak yang telah menegurnya.
Difahamkan, produk nikotin yang dipromosikan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan perniagaan anak tirinya, Aazief Khalid. Namun, sehingga kini, tiada sebarang kenyataan lanjut dibuat mengenai perkara tersebut.
Kredit: Instagram ctdk