Setelah 15 tahun menabung dan mengikat perut demi menunaikan impian ke Tanah Suci, Maimun Sarajul, 60, akhirnya dapat menarik nafas lega.

Sebelum ini, warga emas itu menghadapi dugaan besar apabila terkandas akibat kegagalan sebuah syarikat pengendali umrah yang sepatutnya menguruskan perjalanan beliau dan keluarganya.

Mak Cik Ikat Perut 15 Tahun Kini Tersenyum, Impian Mahu Ke Tanah Suci Termakbul

Kisahnya mula mendapat perhatian ramai selepas seorang TikToker dikenali sebagai Jalil Razak berkongsi cerita Maimun di media sosial. Dalam video yang tular, Jalil merakamkan perbualannya dengan Maimun yang menceritakan kekecewaannya selepas gagal berangkat ke Tanah Suci pada tarikh yang dijadualkan. Video tersebut mengundang rasa simpati netizen, sehingga ada pihak tampil menghulurkan bantuan.

Berita gembira akhirnya tiba apabila seorang ahli perniagaan bersetuju menaja Maimun bersama anak dan cucunya, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menunaikan umrah pada Februari nanti. Bantuan itu turut melibatkan seorang lagi warga emas dari Pulau Pinang yang mengalami nasib sama akibat kegagalan pengendalian pihak syarikat.

@jalilrazak2

Terima Kasih @Queens Beauty Mami Fasha @Jjangok Dressmaker Kelantan @MENCEKIK.JB dan warga sengapore. Semoga Allah beri rahmat beri rezeki yg tiada tolok bandingnya di beri sihat sepanjang hayat di beri syurga buat semua ahli keluarga. Aamin

♬ original sound – JALILRAZAK2 – JALILRAZAK2

Jalil tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang, sekaligus membantu meringankan beban mereka yang terjejas. Menurutnya, kemurahan hati dan keprihatinan masyarakat telah membawa sinar harapan baru kepada keluarga ini.

Di media sosial, ramai netizen meluahkan rasa syukur atas keajaiban ini dan mendoakan agar urusan Maimun serta jemaah lain dipermudahkan. Mereka juga percaya bahawa setiap ujian yang dihadapi pasti mempunyai hikmah di sebaliknya.

Sebelum ini, lebih 300 jemaah dilaporkan terkandas akibat kegagalan syarikat umrah berkenaan, mencetuskan kekecohan apabila ramai ahli keluarga mangsa menuntut bayaran yang telah dibuat. Berdasarkan laporan, jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM2.1 juta, dengan hanya segelintir jemaah yang menerima bayaran balik.

Sejak tahun 2009, Maimun, seorang ibu tunggal, mula menabung dengan wang bantuan Baitulmal demi merealisasikan impiannya membawa enam ahli keluarga, termasuk anak dan cucunya yang OKU, ke Tanah Suci. Beliau sanggup mengikat perut dengan hanya makan nasi berlauk bawang atau air garam untuk memastikan tabungannya mencukupi.

Namun, impian suci itu musnah apabila syarikat terbabit gagal menunaikan janji, menyebabkan Maimun terkandas bersama ratusan jemaah lain

Kredit: TikTok jalilrazak2

 

[fbcomments]