Kerajaan memutuskan bazar Ramadan tidak akan dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat memutuskan selagi PKP dilaksanakan semua bazar Ramadan tidak dibenarkan.

Menurutnya, bagaimanapun, jika PKP ditamatkan sebelum atau sewaktu bulan Ramadan, operasi bazar Ramadan akan bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) pasca PKP yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Soal bazar Ramadan akan ditentukan selepas ini sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak selagi PKP fasa dua ada atau PKP lain selepas ini bazar Ramadan tidak akan diteruskan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Ismail berkata, semua yang pulang dari luar negara wajib dikuarantinkan tanpa pengecualian di pusat kuarantin bermula hari ini.

“Bagi penumpang ke Sabah dan Sarawak yang pulang dari luar negara dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2 atau mana-mana lapangan terbang di Semenanjung, mereka akan dikuarantin sebaik tiba di Sabah atau Sarawak.

Senarai pusat kuarantin boleh dirujuk di laman web www.agc.gov.my

[fbcomments]