Serbuan besar-besaran ke atas sebuah kelab kesihatan di Chow Kit yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti seksual songsang pada 28 November lalu berakhir tanpa sebarang tindakan lanjut terhadap majoriti individu tempatan yang ditahan dalam operasi tersebut.
![]()
Serbuan Kelab Kesihatan di Chow Kit: Reman Majoriti Warga Tempatan Ditolak, Siasatan Masih Buntu
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan bahawa permohonan reman melibatkan 171 warga tempatan ditolak oleh majistret disebabkan permohonan itu dikemukakan lewat. Menurut beliau, jumlah tangkapan yang besar menyebabkan proses dokumentasi dan pengelasan kes mengambil masa lebih lama sebelum permohonan reman dapat difailkan.
“Hanya warga asing sahaja yang berjaya kita dapatkan reman selama dua hari,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan, namun Fadil mengakui bahawa siasatan setakat ini tidak menunjukkan perkembangan positif. Penganjur premis didapati masih bebas, dan pihak polis tidak dapat mengenakan sebarang tindakan kerana tiada bukti kukuh yang mengaitkan mereka dengan aktiviti yang disyaki.
![]()
Beliau menjelaskan bahawa ketiadaan mangsa turut menjejaskan usaha pendakwaan, memandangkan sebarang kes eksploitasi atau pelacuran memerlukan mangsa tampil membuat pengakuan.
“Dalam kes ini, tiada seorang pun yang mengaku menjadi mangsa, maka siasatan tidak dapat diteruskan,” katanya.
Fadil juga menjelaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang syariah tidak dapat dilaksanakan di Kuala Lumpur kerana tiada peruntukan setara seperti di Selangor. Buat masa ini, pihak polis hanya dapat memanggil individu terlibat untuk sesi nasihat atau ceramah.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan keperluan untuk menilai semula undang-undang sedia ada bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
“Jika tiada pindaan undang-undang, kegiatan seperti ini berisiko berlaku lagi, malah mungkin lebih serius. Kami mengambil tindakan, namun keberhasilannya terhad,” katanya.
![]()
Operasi khas berkenaan dijalankan selepas risikan selama dua minggu, dan seramai 202 individu ditahan dalam serbuan tersebut, termasuk 31 warga asing dan 17 penjawat awam. Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar memaklumkan bahawa serbuan dilakukan pada jam 8 malam dengan penglibatan KL Strike Force PDRM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Premis dua tingkat itu dipercayai beroperasi sejak lapan hingga 10 bulan lalu, dengan waktu operasi bermula 5 petang hingga 11 malam pada hari bekerja dan 3 petang hingga 11 malam pada hujung minggu.
Kredit: BERNAMA