Kerajaan tidak bercadang menghentikan pengecualian visa selama 15 hari, yang diperuntukkan untuk pelancong dari China, meskipun Malaysia berdepan ancaman coronavirus, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri sebaliknya berkata, kerajaan menerusi agensi berkaitan akan mempergiatkan langkah pencegahan, termasuk saringan di semua pintu masuk negara bagi mengekang penyebaran virus yang berasal dari Wuhan itu.
“Setakat ini tidak (akan tarik balik pengecualian visa), tetapi
kita saring setiap pelancong yang masuk.”
Virus yang dipercayai mula menular dari pasar makanan laut di Huanan, Wuhan itu kini tersebar ke sembilan negara termasuk Thailand, Jepun, Korea, Hong Kong, Taiwan, Macau, Singapura, Vietnam dan Amerika Syarikat (AS).
Mengakui industri pelancongan negara dipacu kemasukan warga China, Dr Mahathir berkata, negara tembok besar itu juga sudah mengambil langkah berjaga-jaga seperti menghalang pergerakan keluar masuk ke Wuhan.