Kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada kenderaan Kelas 1 iaitu kenderaan persendirian sahaja yang diberi pada 8 dan 9 April depan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tol Percuma Sempena Aidilfitri

Memetik laporan Astro Awani, Menteri Kerja Raya iaitu Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu bersetuju dengan perkara itu bagi meraikan rakyat Malaysia terutama masyarakat Islam.

“Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 April 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 April 2024 (Selasa) di mana Kerajaan perlu memperuntukkan bayaran pampasan dengan anggaran berjumlah RM37.60 juta.

“Pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol, kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia,” katanya semalam.

Menjangka Jumlah Kenderaan Meningkat Di Semua Jaringan Lebuh Raya

Beliau turut menambah dengan pelaksaan pemberian tol percuma itu, jumlah kenderaan dijangka meningkat di kesemua jaringan lebuh raya.

“Bagi para pengguna lebuh raya Utara Selatan (PLUS), pengguna digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) dengan memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA.

“Menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian,” jelasnya.

Kredit: Astro Awani

[fbcomments]