Sebuah percutian keluarga dari Kemaman, Terengganu sempena cuti sekolah bertukar menjadi insiden tragis apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah selepas digigit seekor kuda di sebuah ladang agro di Seremban.

Kejadian ini berlaku pada 19 Januari lalu, namun baru mendapat perhatian selepas bapa mangsa memuat naik video insiden tersebut di media sosial.

Cuping Telinga Terputus, Kanak-Kanak Digigit Kuda di Ladang Agro

Dalam video berkenaan, kelihatan kanak-kanak itu berdiri berhampiran kandang kuda sebelum seekor kuda tiba-tiba menyerangnya. Akibat serangan tersebut, cuping telinga kirinya putus dan kepalanya turut cedera akibat terhantuk pada besi kandang.

Bapa mangsa, Suhaimi Mohd Rafi, menceritakan bahawa keluarganya singgah di ladang agro itu selepas selesai urusan di Kuala Lumpur. Ketika berada di situ, anaknya yang teruja meminta untuk menunggang kuda dan bergambar.

“Saya benarkan anak menunggang kuda sambil dikawal penjaga. Sebaik selesai, penjaga kandang memanggil kami untuk bergambar dalam kawasan berpagar tempat menunggang. Kami bersetuju dan bergambar bersama isteri.

“Anak yang teruja mendekati kawasan kandang di kawasan berpagar itu dan minta saya mengambil gambar serta video. Secara tiba-tiba seekor kuda yang berada dekat dengannya menggigit telinga anak.

“Dalam masa sama, kuda itu turut menghantuk kepala anak dan terkena pada besi menyebabkan kepalanya turut cedera, manakala cuping telinga kiri terputus,” katanya.

Dalam keadaan cemas, Suhaimi segera membawa anaknya ke hospital swasta untuk rawatan. Doktor berjaya menjalankan pembedahan bagi menyambung semula cuping telinga yang terputus.

Namun apa yang mengecewakan, kata Suhaimi, ialah sikap pihak pengurusan ladang agro tersebut. Pada awalnya, mereka berjanji untuk memberikan pampasan, namun akhirnya hanya menawarkan RM500 walaupun kos rawatan keseluruhan mencecah RM10,400.

“Kos rawatan RM10,400 dan ditanggung pihak insurans. Selepas berbincang dengan peguam, saya dinasihatkan supaya mendapatkan pampasan sebanyak RM5,000.

“Bagaimanapun, pihak agrofarm memaklumkan hanya mampu membayar sebanyak RM500 sahaja. Saya sangat kesal dengan pihak agrofarm ini kerana sehingga kini mereka belum bayar satu sen pun sedangkan sudah berjanji,” katanya kesal.

Anaknya kini dalam keadaan stabil, namun trauma dengan kejadian itu. Suhaimi juga menyangkal dakwaan netizen yang menyalahkan dirinya kerana membenarkan anaknya mendekati kuda. Menurutnya, kawasan tersebut dianggap selamat kerana pekerja ladang membenarkan mereka masuk.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]