Seorang lelaki ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 29 bangunan perniagaan di Bandar Utama, hari ini. Mangsa yang terjatuh dari bangunan tersebut difahamkan mati dalam keadaan mengerikan selepas kepalanya terputus daripada badan.
Terjatuh Dari Bangunan
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Harian Metro dan juga laman Facebook Polis Daerah Petaling Jaya, kejadian tersebut terjadi sekitar jam 3 petang dan mayat lelaki warga asing berusia 43 tahun itu dijumpai oleh orang awam yang berada di kawasan berdekatan.
“Anggota Balai Polis Damansara bertindak ke lokasi untuk pemeriksaan sejurus menerima panggilan mengenai kejadian. Pemeriksaan mendapati terdapat satu mayat lelaki terbaring di bahagian tepi bangunan dalam keadaan kepala terputus daripada badan”, kata Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.
Tukang Cuci Di Sebuah Restoran Tingkat 29
Menurut Fakrudin lagi, mangsa dipercayai bekerja di sebuah restoran di tingkat 29 sebagai seorang tukang cuci di bangunan terbabit. “Hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), mangsa kelihatan berada di balkoni pada pukul 2.46 petang sebelum kelibatnya tidak kelihatan lagi dipercayai terjatuh dari balkoni itu. Mayat lelaki terbabit dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat”, jelasnya.
Sebagai maklumat tambahan, beliau meminta kepada sesiapa yang melihat atau berada di lokasi kejadian untuk memberi maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Fatin Afifa Shahpri di talian 013-7353589 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Kredit: Harian Metro, Facebook Polis Daerah Petaling Jaya