Polis berjaya mengenal pasti dan mengesan pemandu kereta Perodua Axia berwarna merah yang tular baru-baru ini kerana membawa muatan berlebihan di Jalan Dengkil-Banting.

Video di bawah:

https://www.facebook.com/share/r/1KzPzRuN9e/?mibextid=wwXIfr

Tular Bawa Muatan Berlebihan, Pemandu Axia Sudah Dikenal Pasti Polis

Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Sepang iaitu Asisten Komisioner Norhizam Bahaman memaklumkan pihaknya mula mengesan video kejadian di media sosial kira-kira jam 10 pagi kelmarin. Susulan itu, pemandu terbabit berjaya ditemui dalam tempoh satu jam di lokasi sama kejadian.

“Hasil siasatan mendapati individu berkenaan merupakan lelaki tempatan berusia 59 tahun. Beliau memiliki lesen memandu yang sah dan kenderaan tersebut turut mempunyai dokumen perjalanan lengkap,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal turut mendapati lelaki terbabit pernah mengalami kemalangan beberapa tahun lalu dan kini dipercayai menghadapi masalah kesihatan di bahagian kepala. Berdasarkan penjelasan awal, individu berkenaan dikatakan berada dalam keadaan tidak sihat ketika insiden berlaku.

 

Lelaki tersebut kini dibebaskan dengan jaminan keluarga sementara kenderaan Axia yang dipandunya ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video yang memaparkan sebuah kereta dipandu sambil membawa pelbagai barangan seperti sampah sarap, rangka katil dan bakul yang turut diikat di atas bumbung kenderaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang awam terhadap aspek keselamatan jalan raya.

Kredit: Harian Metro

 

 

 

[fbcomments]