Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menjalankan siasatan berhubung penularan satu video yang memaparkan seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah acara bertaraf antarabangsa yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, siasatan tersebut perlu dijalankan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
![]()
Jawi Siasat Video Lelaki Berpakaian Seakan Wanita Dalam Acara Antarabangsa
Beliau turut menggesa Jawi supaya bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menurunkan kandungan berkenaan daripada platform media sosial. Dr Zulkifli berkata, paparan tersebut telah mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat dan dianggap menyentuh sensitiviti agama serta bertentangan dengan norma budaya yang diamalkan di negara ini.
Menurutnya, dari sudut pandang Islam, perbuatan menyerupai jantina lain adalah bercanggah dengan syariat dan tidak seharusnya diterima atau dinormalisasikan dalam kehidupan bermasyarakat. Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan menjaga keharmonian nilai agama dan budaya, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
![]()
Dalam pada itu, Dr Zulkifli memaklumkan bahawa usaha berterusan akan dilaksanakan melalui pendekatan seperti penyampaian khutbah, penganjuran program keagamaan serta penggunaan platform media sosial bagi meningkatkan kefahaman masyarakat. Langkah tersebut, katanya, penting bagi memelihara keharmonian sosial serta memastikan nilai agama dan budaya negara terus dihormati.
Kredit: mStar