Satu insiden membabitkan seorang gelandangan yang disiram air dan ditendang di hadapan sebuah bank di Taman Maluri, Kuala Lumpur terus mencetuskan perdebatan, namun kini timbul pula penjelasan lain yang mendakwa situasi sebenar tidak digambarkan sepenuhnya dalam video tular berkenaan.
![]()
Tular Kes Gelandangan Ditendang, Saksi Dakwa Gelandangan Kerap Buang Najis di Kawasan Bank
Seorang wanita yang mendakwa mengetahui latar belakang kejadian itu berkata tindakan tersebut berlaku selepas pelbagai aduan dibuat mengenai perbuatan gelandangan terbabit yang didakwa berulang kali membuang najis dan air kencing di kawasan laluan utama sehingga menimbulkan gangguan kepada peniaga dan pelanggan.
Menurut wanita itu, laporan polis pernah dilakukan sebelum ini, namun pihak berkuasa menjelaskan bahawa tindakan hanya boleh diambil sekiranya terdapat ancaman terhadap keselamatan atau ketenteraman awam. Katanya, individu yang menendang gelandangan itu juga hilang sabar kerana pelanggan perniagaannya didakwa mula menjauhkan diri akibat bau busuk di kawasan tersebut.
Dia turut memaklumkan bahawa pengawal keselamatan wanita yang terlibat merupakan ibu tunggal kepada empat anak dan kini dipanggil pihak pengurusan untuk memberikan keterangan mengenai kejadian itu.
![]()
Wanita tersebut berharap penilaian terhadap pengawal keselamatan berkenaan dibuat secara menyeluruh tanpa bergantung kepada rakaman video berdurasi pendek semata-mata.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang gelandangan yang sedang tidur di laluan pejalan kaki sebelum disiram air dan barangannya dibaling, sekali gus mengundang kecaman pengguna media sosial. Susulan itu, AmBank mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas kejadian yang berlaku di luar premis mereka dan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan.
Kredit: mStar