Bahagian luar bandar Australia yang masih cuba bertahan dengan impak kemarau kini dikhuatiri pula dengan kehadiran debu gergasi yang terus bergerak dan mengancam kawasan yang berpopulasi lebih padat termasuk bandar raya Sydney.
Perkembangan itu sekali gus dianggap kehadiran elemen alam baharu dalam siri cuaca ekstrem yang telah mendominasi negara itu pada musim panas ini, termasuk bencana kebakaran hutan sejak September lalu.
Kepulan debu gergasi
Kepulan gergasi debu merah yang tebal dilapor menyelubungi pekan-pekan di kawasan pedalaman seperti di Dubbo, New South Wales.
Ribut debu yang membadai New South Wales dan negeri Victoria itu telah menjejaskan tempoh bertenang yang pendek, selepas bencana kebakaran yang telah mengorbankan 29 orang serta satu bilion haiwan.
Awal bulan ini, pihak berkuasa menasihatkan penduduk di Canberra supaya tidak keluar dari bangunan berikutan kesan asap kebakaran hutan yang menjadikan udara di bandar raya itu menjadi toksik.
Ribut debu itu diramal melanda Sydney hingga membuatkan syarikat penerbangan membatalkan beberapa jadual penerbangannya.
Ribut tersebut telah menjejaskan penglihatan penduduk setempat terutamanya yang sedang memandu.