Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan memijak dan menghina al-Quran yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook.
Tertuduh, Mohd Zulkifli Ali, 33, mengangguk faham namun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret.
Pemeriksaan mental
Bagaimanapun dia telah diarahkan untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai bagi mengetahui status sebenar kesihatan mental suspek.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan yang dilakukan di lokasi dan masa yang sama iaitu di bilik sebuah hotel di Taman Tebrau Jaya, jam lebih kurang 8.40 pagi.
Memijak al-Quran
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencemarkan suatu objek iaitu sebuah al-Quran dengan memijak al-Quran itu yang mana kitab itu dianggap sebagai objek suci bagi umat Islam dengan niat untuk menghina Islam.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menghina Islam
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga telah mengeluarkan kata-kata menghina Islam yang didengari oleh seorang individu dengan niat yang disengajakan iaitu melukakan perasaan keagamaannya dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 298 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dalam tempoh boleh sampai setahun dengan denda atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen kesihatan mental tertuduh.
Rakaman video itu juga viral menyebabkan suspek dilaporkan dibelasah orang awam.