Pelakon Zarina Zainuddin tampil memberi penjelasan berhubung perkongsian mengenai anak usahawan Ridzuan Ridzokumura, Sky Taizo Okumura, yang menjadi perhatian ramai di media sosial sejak kebelakangan ini.
Zarina Zainuddin Tampil Perjelas Perkongsian Mengenai Anak Ridzuan Ridzokumura, Tegaskan Tiada Niat Ambil Kesempatan
Menurut Zarina, 55, tujuannya berkongsi mengenai Sky bukanlah untuk meraih perhatian atau mengambil kesempatan atas kesedihan keluarga berkenaan, sebaliknya kerana prihatin dengan keadaan remaja itu yang kehilangan ibu tersayang baru-baru ini.
“Saya sedar ramai yang ambil berat tentang keadaan Sky, sebab itu saya berkongsi perkembangan dia. Tetapi saya juga sangat berhati-hati. Bukan semua perkara saya rakam dan kongsi. Apa yang saya muat naik hanyalah momen-momen seperti waktu berbuka, sahur dan solat bersama. Itu pun sekadar berkongsi kebaikan.
“Tidak ada niat langsung untuk buat siaran langsung sepanjang masa atau paparkan keseluruhan aktiviti harian Sky. Kalau ada yang nak mengata, saya hanya anggap ia sebagai ujian. Lebih baik kita kumpul pahala daripada dosa, apatah lagi dalam bulan Ramadan ini,” katanya.
![]()
Mengulas keadaan terkini Sky, Zarina menyifatkan anak lelaki berusia 13 tahun itu sebagai seorang yang kuat dan tabah menghadapi kehilangan ibunya, Allahyarham Akiko Okumura atau nama Islamnya Aishah Abdullah.
“Sky seorang anak yang baik. Sepanjang berada di rumah saya, dia tak pernah tinggal solat, malah sentiasa mendoakan arwah ibunya. Dia sedang cuba sesuaikan diri dengan kehidupan baharu tanpa ibu, cuma belum ada kekuatan untuk kembali ke rumah mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zarina berkata Sky juga tidak cerewet dalam soal makanan, walaupun jelas merindui air tangan arwah ibunya.
“Biasalah, dia memang rindu masakan ibu dia, tapi apa sahaja yang saya masak, dia makan. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan setakat ini,” tambahnya.
![]()
Terdahulu, Ridzuan memaklumkan isterinya meninggal dunia pada 28 Februari lalu. Namun, punca kematian tidak dinyatakan ketika itu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pada Selasa mengesahkan wanita warga Jepun berkenaan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya pada pagi Sabtu lalu.
Untuk rekod, Ridzuan dan Akiko mendirikan rumah tangga pada Februari 2009 dan dikurniakan seorang anak lelaki.
Kredit: Mstar