Setelah 14 tahun tinggal berjauhan dengan isteri, Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim yang juga merupakan bapa kepada bayi lapan bulan yang maut akibat didera pengasuh, 39, meluahkan rasa syukur apabila akhirnya berjaya dipindahkan ke Melaka.
Sebelum ini, beliau bertugas di Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Pemindahan tersebut diumumkan melalui satu hantaran di media sosial pada semalam.
Akhirnya Dapat Tinggal Sebumbung Bersama Isteri Selepas 14 Tahun Duduk Berjauhan
Dalam hantaran berkenaan, Mohd. Fikry menyatakan bahawa penantian selama 14 tahun untuk tinggal bersama isterinya di Melaka akhirnya tercapai setelah selesai urusan penyerahan tugasnya semalam.
“Setelah sekian lama hidup berjauhan dengan isteri, akhirnya saya dapat hidup sebumbung,” tulisnya.
Tambahnya lagi, pemergian anak tersayang pada 6 September yang lalu menjadi pemangkin kepada perpindahannya ke Melaka. Beliau turut berharap agar segala urusan di tempat baharunya dipermudahkan.
“Semoga dipermudahkan urusan saya di tempat baru. Dapat ‘daddy’ dan ‘mommy’ melawat kubur Al Fateh hari-hari. Insya-Allah. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi kata-kata semangat. Semoga Allah membalas jasa kalian dengan rezeki berlipat ganda. Amin Ya Rabbal Al-amin,” ujarnya.
Terdahulu, berita mengenai kematian tragis seorang bayi berusia lapan bulan di sebuah taska di Taman Kelemak menjadi tular di media sosial. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang pengasuh bertindak memasukkan botol susu ke mulut bayi yang bernama Al Fateh, sebelum menekup wajahnya dengan bantal.
Akibat insiden tersebut, pengasuh wanita berusia 34 tahun itu kini didakwa atas pertuduhan membunuh bayi Muhamad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan telah mempertimbangkan permohonan Mohd. Fikry untuk ditukarkan dari RAJD Kem Perdana, Sungai Besi, ke Kem Sungai Udang, Melaka. Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, menyatakan bahawa pihak kementerian prihatin terhadap situasi keluarga ini, yang memerlukan pasangan suami isteri tersebut berada lebih dekat antara satu sama lain.
Sebelum ini, Mohd. Fikry bertugas di Kuala Lumpur, manakala isterinya bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Naning, Melaka.
Kredit: FB Mohd Fikry Amri