Sepasang suami isteri yang bernama Shamsuri Shafie dan Rosnaida Ismail baru-baru ini telah selamat menimang cahaya mata ke-12 mereka sekitar jam 3.43 petang pada Isnin yang lalu.
Timang Anak Ke-12
Menurut laporan Harian Metro, Shamsuri meluahkan rasa syukur kerana masih dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata. Beliau merasa amat lega kerana proses kelahiran anak oleh isterinya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
Shamsuri menyatakan bahawa dia dan isterinya telah dikurniakan seorang bayi lelaki. Namun, mereka masih belum memutuskan nama untuk anak yang baru dilahirkan itu.
“Alhamdulillah, perasaan sangat teruja dan bersyukur kerana Allah SWT permudahkan urusan kehamilan isteri yang tidak alami alahan sehingga dia selamat bersalin.
“Sebenarnya, bukan hanya saya dan isteri malah anak lain pun teruja dapat adik baru. Sebagai suami, saya ucapkan terima kasih kepada isteri atas pengorbanannya melahirkan cahaya mata kami.
“Sukar nak mencari seorang isteri yang tabah, penyayang, tenang serta bertanggungjawab sepertinya malah dia adalah tulang belakang serta penguat semangat saya,” ceritanya.
Tidak Menolak Rezeki Jika Ada Peluang Dapat Timang Anak Lagi
Shamsuri turut memberitahu sekiranya pada masa akan datang dia diberi rezeki untuk menimang cahaya mata lagi, dia tidak akan menolak dan bersyukur dengan pemberian yang diberikan.
“Jika ada rezeki, saya nak lagi kerana anak pun anugerah Allah SWT.
“Anak pun pembawa rezeki dan menjadi penguat hubungan serta pengikat kasih sayang dengan isteri sepanjang 19 tahun kami berumah tangga,” ujarnya.
Terdahulu, kisah kehidupan Shamsuri dan isterinya pernah menjadi tular di TikTok, menarik perhatian ramai netizen. Mereka mendapat perhatian luas kerana dikurniakan 11 orang anak yang terdiri daripada enam anak lelaki dan lima anak perempuan. Kehidupan mereka yang penuh dengan keriuhan dan kebahagiaan sering dikongsi dalam video-video yang mengundang pelbagai reaksi dan sokongan daripada pengguna media sosial.
Kredit: Harian Metro, TikTok shamsuri_safie