Pada tahun 2021 lalu, tercetusnya sebuah kontroversi selepas penyanyi Lan Solo dan Syura membuat pendedahan mengejut berkaitan konflik yang berlaku antara mereka dengan Siti Nordiana menerusi Instagram live 20 Julai 2021. Disebabkan konflik tersebut, Siti Nordiana telah menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live beserta RM500,000 daripada setiap defendan.
Kes Saman Fitnah RM2.5 Juta Kini Selesai
Berdasarkan sumber Mstar, difahamkan selepas dua tahun turun naik mahkamah, saman fitnah sebanyak RM2.5 juta yang difailkan oleh Siti Nordiana atau Nana terhadap lima sekawan telah berakhir apabila mereka semua saling bermaaf-maafan. Peguam yang mewakili Nana iaitu Abang Azlan Abang Ariffin memaklumkan bahawa perbicaraan kes tersebut tidak diteruskan selepas terdapat perbincangan di antara Nana selaku plaintif dan lima defendan untuk menyelesaikan isu mereka yang berpanjangan ini secara baik.
Menurut Abang Azlan, persetujuan dibuat adalah mengikut terma dan syarat yang ditetapkan iaitu kedua-dua pihak bersetuju ia dilaksanakan di hadapan Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan secara terbuka dan permohonan maaf dibuat atas dasar persahabatan yang telah terjalin sebelum ini.
“Kami berharap agar tiada persengketaan terhenti di sini dan bairlah menjadi sejarah pahit yang tidak berulang lagi”, katanya di hadapan Hakim John Lee.
Lima Sekawan Buat Permohonan Maaf Di Hadapan Hakim
Lima sekawan sebagai defendan iaitu Lan Solo, Syura Badron, Nur Sheila, Sam Musyadzafar dan Raziah Ahmad membuat permohonan maaf di hadapan hakim dan memaafkan Siti Nordiana. Nana juga turut membuat permohonan maaf kepada lima sekawan tersebut selain mengatakan bahawa beliau telah memaafkan semua tindakan mereka sebelum ini.
Sebelum persidangan tamat, Hakim John Lee sempat memberi pesanan kepada mereka agar selepas ini semua pihak lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan dan percakapan yang dikeluarkan.
Sebelum ini Nana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021 di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur dengan menamakan Lan Solo, 36, isterinya Nur Sheila dan Syura, 35, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad, 42.
Kredit: Mstar