Sejak beberapa hari ini nama Abang Tesla kian menakluk seluruh platform media sosial susulan isunya yang berkahwin dua, namun tidak membelakangkan isteri pertama. Isu ini telah mendapat perhatian dan kecaman terhebat kerana kaum wanita tidak dapat menerima tindakan yang diperlakukan oleh beliau.
Isteri Pertama Untuk Dihargai, Isteri Kedua Untuk Dicintai?
Berdasarkan video yang dimuat naik oleh @ABG.TESLA di laman TikTok, beliau mengeluarkan satu kenyataan yang berbunyi “isteri pertama untuk dihargai, isteri kedua untuk dicintai” dan ayat tersebut telah membuatkan golongan wanita berpanas hati.
“Ada yang tanya, kalau sayang kenapa kahwin dua. Saya rasa apa yang ustaz cakap itu sama, isteri pertama untuk dihargai, isteri kedua untuk dicintai. Itu yang saya dapat, bila saya jauh saya rasa benda itu. Mungkin ramai yang salah tafsir soal poligami, ramai perempuan di luar sana kata tidak adil. Allah itu Maha Adil, perempuan senang masuk syurga, senang masuk neraka. Kenapa senang masuk syurga? Perempuan nak masuk syurga hanya taat pada Allah dan suami. Kenapa senang masuk neraka? Sebab perempuan tidak taat pada Allah dan suami”, ujarnya sebelum ini.

Mana Datangnya Dalil Tu?
Terbaharu, pendakwah terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus (UAI) telah menjawab satu persoalan susulan isu Abang Tesla itu. Dalam ceramahnya, UAI mempersoalkan dari manakah datangnya dalil dan istilah “isteri pertama untuk dihargai, isteri kedua untuk dicintai”, sama ada menerusi hadis atau sebaliknya.
UAI menegaskan ayat tersebut tidak benar sama sekali dan mengingatkan untuk menyemak dengan sumber yang sahih iaitu al-Quran dan hadis sahaja bagi mengelakkan terpesong akidah.
“Jawapannya betul, orang ini sudah tidak betul. Ni siapa? Hadis ke apa? Ini perkataan netizen. Hidup kita kena ikut netizen atau hadis? Kita ikut netizen, sesatlah kamu, jumpa di api neraka nanti. Aku tinggalkan kamu dengan dua perkara, selagi kamu ikut dua perkara iaitu al-Quran dan hadis, maka kamu tidak akan sesat. Kalau tak ikut, pasti sesat”.
“Mana ada isteri pertama untuk dihargai, isteri kedua untuk dicintai, sesuka hati sahaja cakap. Kenapa nak cakap pelik-pelik? Ada pula untuk dihargai, bukan, jangan begitu. Siapa yang menjadi isteri pertama, dia yang jadi mangsa. Terasa hati orang. Apa benda status bodoh macam ni”, ulas Ustaz Azhar Idrus dengan tegas.

Kedua-dua Isteri Adalah Tanggungjawab Suami
Menurut UAI lagi, kedua-dua isteri sebenarnya di bawah tanggungjawab seorang lelaki dan merekalah (lelaki) yang bakal disoal kelak di akhirat.
“Sebab itu Nabi berkata suami yang baik, bukan isterinya dua, tiga, satu, tidak. Tidak kira seberapa isteri dimiliki, asalkan harus, suami yang baik dan suami yang paling banyak berbuat baik kepada isterinya. Kamu semua orang beriman, terbaik. Orang kafir, tidak baik. Kamu terbaik kerana kamu beriman. Tapi antara kamu yang beriman dan terbaik adalah yang paling baik dengan bini (isteri) dia”.
“Kalau ucapan kita menyakiti hati seseorang isteri, adakah kita suami terbaik? Sepatutnya kita bercakap sesuatu perkara yang menyenangkan hati isteri, mesej sahaja menggembirakan hati. Ini nak kahwin dua, tapi rumah bini muda sampai tiga hari duduk, rumah bini tua, tak sampai sehari”, jelas UAI.
Kredit: Youtube Ustaz Azhar Idrus Official