Hari bahagia bertukar menjadi haru biru apabila sepasang pengantin menjadi mangsa scam selepas katerer yang diupah tidak muncul untuk menyediakan makanan dan minuman untuk tetamu undangan.

Kena Scam RM13K Oleh Sebuah Syarikat Katering

Menerusi laporan Mstar, difahamkan perkara tersebut mula mendapat perhatian selepas salah seorang daripada ahli keluarga pengantin memohon maaf kepada semua tetamu yang hadir ke majlis mereka yang serba kekurangan.

“Saya mewakili keluarga Ustaz Shukor memohon ribuan kemaafan andai yang hadir ke majlis perkahwinan adik saya hari ini hanya dapat menjamu juadah sekadarnya sahaja,” tulis abang kepada pengantin perempuan iaitu Burhanuddin Rabbani Abd Shukor menerusi satu hantaran di laman sosial.

Difahamkan, mereka sekeluarga telah ditipu oleh sebuah syarikat katerer dimana adiknya telah membuat tempahan yang dianggarkan untuk 1,000 tetamu. Namun pihak katerer tidak dapat dihubungi sehingga sehari sebelum majlis persandingan berlangsung pada Ahad.

“Semalam selepas nikah, adik saya datang tengok ke dewan majlis tapi yang ada cuma pelamin saja. Dewan kosong tak ada meja dan kerusi untuk tetamu. Banyak kali kami cuba hubungi katerer tu tapi tiada respons. Masa tu adik dah berdebar-debar dah, pening juga kami adik-beradik nak fikir,” jelasnya ketika dihubungi mStar.

Keluarga Terpaksa Masak Sendiri Untuk Tetamu

Tambah Burhanuddin lagi, mereka sekeluarga dikatakan terpaksa untuk memasak sendiri memandangkan sehingga pukul 9 malam Sabtu masih tiada respons daripada pihak katerer.

“Dewan dah tempah, kami dah jemput tetamu untuk datang. Nak cari katerer untuk tampung semua tak sempat, jadi kami sekeluarga buat kerja sendiri. Kami berpecah kepada beberapa kumpulan semalam. Ketika itu kami hanya mampu untuk siapkan dalam anggaran 400 pax makanan. Ada yang cari set meja dan kerusi. Kami cari periuk-periuk besar, cari barang-barang untuk masak,” ujarnya lagi mengenai majlis yang diadakan di sebuah dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Beliau turut menambah walaupun serba kekurangan namun mereka tidak mengurangkan tetamu atau menolak jemputan supaya jangan datang.

“Walaupun hanya ada satu lauk yang kami masak iaitu gulai ayam tapi Allah Maha Kaya, sampai habis majlis lauk pauk masih ada, tak habis pun. Syukur semuanya cukup. Jumlah perbelanjaan baharu yang dikeluarkan adalah kira-kira RM7,000 meliputi bahan mentah untuk masak dan tambahan 100 pax makanan menggunakan khidmat katerer lain secara adhoc,” jelasnya.

Sudah Buat Laporan Polis Berhubung Kejadian

Sementara itu, pengantin perempuan iaitu Raudhah Sakinah Abdul Shukor memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis berhubung penipuan syarikat katering tersebut pada Sabtu malam. Dikatakan kerugian yang dialaminya adalah kira-kira RM13,000 termasuk rancangan asal daripada katerer tersebut untuk khidmat DJ dan pelamin.

“Saya rasa mula tak sedap hati sejak Rabu (20 Dis) lalu kerana setiap mesej saya tidak dibalas dan tiada pengesahan akhir. Jujurnya, perasaan saya bercampur baur, ada marah dan kecewa. Tapi saya bersyukur kerana dihadirkan dengan keluarga, adik-beradik dan kawan-kawan rapat yang banyak membantu untuk melakukan yang terbaik.

“Saya nikah semalam tapi dah kena pergi balai polis buat report, sebenarnya bukan momen yang terbaik. Tapi saya positif apabila semua beri semangat. Duduk di pelamin tak rasa sedih dengan ujian yang berlaku, tapi terharu dengan sambutan tetamu yang turut beri sokongan kepada kami sekeluarrga,” katanya yang berusia 26 tahun itu.

Kredit: mStar

[fbcomments]