Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa tiada sebarang tindakan lanjut akan diambil terhadap tiga penyampai radio Era FM, iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin Amir Effendy, berhubung kontroversi yang melibatkan mereka baru-baru ini.
![]()
Tiada Tindakan Lanjut Terhadap Tiga Penyampai Era FM, Kompaun RM250,000 Dikenakan Kepada MBNS
Menurut Fahmi, ketiga-tiga penyampai radio itu telah melalui pelbagai proses, termasuk siasatan, dan situasi tersebut sudah memberi impak yang cukup besar kepada mereka.
“Saya percaya (keadaan ini) memang mendatangkan kesan yang negatif, termasuk kepada mereka.
“Jadi saya minta mereka bersabar, tenang dalam menghadapi dugaan besar ini. Dan saya juga memaklumkan kepada mereka bahawa kita tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan kepada mereka, they have gone through enough,” katanya.
![]()
Dalam pada itu, Fahmi menjelaskan bahawa kompaun RM250,000 yang dikenakan bukan ditujukan kepada Era FM, tetapi kepada Maestra Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. (MBNS), anak syarikat milik Astro yang bertanggungjawab terhadap stesen radio tersebut.
Menurut beliau, kompaun itu dikeluarkan dengan kelulusan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berdasarkan beberapa faktor, termasuk pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu. Pindaan ini menyaksikan peningkatan denda maksimum mahkamah kepada RM500,000.
Menjelaskan kekeliruan mengenai perbezaan jumlah kompaun yang dikenakan, Fahmi menyatakan bahawa kes yang melibatkan individu tertakluk kepada peraturan berbeza berbanding syarikat.
![]()
“MBNS bukan individu tetapi sebuah syarikat yang mempunyai keuntungan besar, jadi jumlah kompaun yang dikenakan adalah berdasarkan faktor tersebut. Sementara itu, Harith Iskander dan Cecilia Yap masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 kerana mereka adalah individu dan bukan syarikat,” katanya.
Tambahnya, jumlah denda yang lebih rendah bagi kes individu disebabkan mereka melakukan kesalahan sebelum 11 Februari, di mana denda maksimum ketika itu masih ditetapkan pada RM50,000.
Kredit: Sinar Harian, X fahmi_fadzil