Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa semua rakyat Malaysia yang kini berada dalam tahanan tentera Israel disahkan selamat, sihat dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Menurut kenyataan rasmi, kerajaan melalui Wisma Putra memberi jaminan bahawa sokongan konsular sepenuhnya akan disediakan bagi memastikan keselamatan serta kepulangan mereka ke tanah air.
![]()
Wisma Putra Sahkan Rakyat Malaysia Ditahan Israel Selamat, Usaha Diplomatik Dipergiat
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah mengarahkan Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah untuk segera menjalin kerjasama dengan kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.
Tindakan itu sebahagian daripada usaha diplomatik menyeluruh Malaysia bagi mempercepat pembebasan 23 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
![]()
Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa penahanan aktivis flotilla tersebut adalah tidak sah serta menuntut agar mereka dibebaskan segera mengikut undang-undang antarabangsa.
Malaysia juga menekankan bahawa keselamatan rakyat di luar negara akan sentiasa menjadi keutamaan tanpa kompromi terhadap hak asasi manusia.
![]()
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penahanan 23 rakyat Malaysia oleh rejim Israel. Beliau turut mengadakan perbincangan bersama rakan sejawat dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam usaha memperkukuh tekanan antarabangsa bagi memastikan pembebasan segera aktivis terbabit.
Kredit: BERNAMA, FB Wisma Putra