Seorang petugas syarikat keselamatan meninggal dunia ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi membantu siasatan berhubung cubaan samun wang tunai berjumlah RM82,000 yang berlaku di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada Isnin lalu.
![]()
Pemandu Van Keselamatan Rebah Ketika Bantu Siasatan, Meninggal Dunia Akibat Jantung
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 43 tahun yang bertugas sebagai pemandu van keselamatan. Ketika proses temu bual dijalankan pada malam Isnin, mangsa dilaporkan tiba-tiba rebah sebelum tidak sedarkan diri.
Menurut beliau, mangsa segera dibawa ke hospital dengan ambulans, namun disahkan meninggal dunia sejurus menerima rawatan. Hasil bedah siasat yang dijalankan pada Selasa mendapati punca kematian adalah akibat masalah jantung.
Shazeli turut menjelaskan bahawa mangsa bukan individu yang tular dalam rakaman video berada di luar van keselamatan ketika kejadian cubaan samun itu berlaku.
![]()
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Isnin, sekumpulan petugas syarikat keselamatan sedang melakukan proses memindahkan wang tunai dari sebuah bank ke dalam van keselamatan sebelum berlaku cubaan samun. Bagaimanapun, wang tunai berjumlah RM82,000 berjaya diselamatkan apabila petugas bertindak pantas memasukkan wang tersebut ke dalam van.
Suspek yang gagal melarikan wang tunai kemudian bertindak merampas sepucuk senjata api jenis pump gun milik seorang petugas keselamatan sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha.
Mengulas perkembangan siasatan, Shazeli memaklumkan polis kini telah memperoleh beberapa petunjuk positif bagi mengenal pasti suspek yang terlibat. Beliau berkata, sebarang tangkapan atau perkembangan baharu akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.
Kredit: Sinar Harian