Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an berjaya diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam cubaan menyamun sebuah van syarikat keselamatan yang membawa wang tunai di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang pada Isnin lalu.
![]()
Suspek Cubaan Samun Van Keselamatan Di Klang Ditahan, Senjata Api Berjaya Dirampas Semula
Suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi Khamis di Shah Alam, Selangor hasil operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mengesan individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai cuba menyamun kenderaan syarikat keselamatan sebelum bertindak merampas selaras senapang jenis pump gun milik seorang pengawal keselamatan dan melarikan diri dengan menaiki motosikal.
Beliau berkata, hasil serbuan yang dijalankan, polis berjaya menemui semula senapang jenis pump gun jenama Mossberg bersama sebutir peluru 12 bore yang dipercayai dilarikan suspek. Selain itu, polis turut merampas sepucuk pistol pelepas olahraga jenama Ekol Lite bersama 48 butir peluru blank.
![]()
Semakan lanjut mendapati lelaki terbabit mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Menurut M. Kumar, kes kini disiasat mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
![]()
Dalam masa sama, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada enam kali.
Beliau memaklumkan, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di mahkamah esok mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
Kredit: Facebook Polis Diraja Malaysia