Satu video yang tular di media sosial baru-baru ini memaparkan kejadian sekumpulan pelajar menyerang seorang lelaki dewasa di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan sehingga mencetuskan perhatian ramai.

Berdasarkan laporan, lelaki dewasa tersebut merupakan bapa kepada seorang pelajar berusia 16 tahun yang dipercayai turut menjadi mangsa dalam kejadian berkenaan. Anak lelakinya didakwa dipukul oleh sekumpulan pelajar lain sebelum bapanya cuba masuk campur untuk menghentikan pergaduhan itu.

Pelajar 16 Tahun Dipukul Sekumpulan Remaja, Bapa Turut Cedera Ketika Cuba Meleraikan Pergaduhan

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.45 tengah hari pada 3 Julai lalu ketika mangsa sedang menuju ke motosikalnya yang diletakkan di luar kawasan sekolah.

Menurutnya, sekumpulan pelajar lelaki dari sekolah sama dipercayai memanggil mangsa sebelum mengepung dan menyerangnya. Akibat kejadian itu, pelajar berkenaan mengalami beberapa kecederaan termasuk luka pada bibir dan lutut, selain lebam serta kesakitan pada seluruh badan.

Dalam kejadian sama, bapa mangsa yang cuba menghentikan tindakan tersebut turut diserang sehingga terjatuh di atas jalan raya. Lelaki itu dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kaki selain sakit di seluruh badan.

Susulan kejadian itu, beberapa individu yang dipercayai terlibat telah ditahan polis dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes tersebut turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]