Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan memandu sehingga menyebabkan kematian seorang murid perempuan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, pada Selasa lalu.

Pemandu Van Mengaku Tidak Bersalah Kes Langgar Mati Murid Tahun Dua

Tertuduh, Nordin Ithnin, 61, didakwa menyebabkan kematian murid Tahun Dua, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari. Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). Lelaki berusia 61 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Pihak pendakwaan memohon jaminan RM10,000, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah turut menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Selain itu, tertuduh diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan, manakala lesen memandunya digantung berkuat kuasa hari ini di bawah peruntukan seksyen yang sama.

Sebelum ini, siasatan polis mendapati kejadian berlaku ketika van yang dipandu tertuduh sedang keluar dari kawasan sekolah selepas menghantar barang, sebelum melanggar mangsa yang berada di hadapan pintu pagar sekolah. Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan organ dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]