Seorang pelajar Tingkatan Empat dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berada di kawasan mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di Daro, Bahagian Mukah, pada malam Khamis.
![]()
Pelajar Maut Ketika Berada Di Tempat Ambil Wuduk, Seorang Lagi Dirawat Di ICU
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, tiga pelajar lelaki dipercayai berada di lokasi berkenaan sebelum insiden tersebut berlaku. Ketua Polis Daerah Matu Daro, Rahim Mihos berkata pihak polis menerima makluman daripada pihak sekolah sejurus kejadian berlaku.
Menurut beliau, mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi. Seorang lagi pelajar berusia 15 tahun yang juga pelajar Tingkatan Tiga mengalami kecederaan parah akibat renjatan tersebut sebelum dikejarkan ke Hospital Daro untuk rawatan awal.
![]()
Mangsa kemudiannya dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan lanjut. Sementara itu, seorang lagi pelajar lelaki berusia 15 tahun yang turut berada di kawasan sama dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Susulan kejadian itu, pihak Sarawak Energy Berhad telah dimaklumkan untuk memutuskan bekalan elektrik di lokasi kejadian sebagai langkah keselamatan. Mayat mangsa pula dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut, manakala kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Kredit: BERNAMA