Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan insiden melibatkan seorang murid Tahun Lima yang terjatuh dari bumbung garaj basikal di sebuah sekolah rendah di Batu Berendam pada Rabu lalu.
![]()
Polis Sahkan Tiada Unsur Buli Dalam Kes Murid Jatuh Dari Bumbung Sekolah
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 12.40 tengah hari ketika sesi pertukaran kelas sedang berlangsung di sekolah berkenaan.
Hasil siasatan awal mendapati murid terbabit dipercayai telah membaling kasut milik seorang murid lain sehingga tersangkut di atas bumbung garaj basikal sekolah. Mangsa kemudian bertindak memanjat bumbung itu untuk mengambil semula kasut berkenaan.
Menurut beliau, ketika cuba kembali semula ke tingkat satu bangunan sekolah, bahagian bumbung yang dipijak mangsa dikatakan patah secara tiba-tiba sebelum menyebabkan murid itu terjatuh ke bawah.
![]()
Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan pada kaki kanan. Pihak sekolah segera memberikan bantuan kecemasan sebelum murid itu dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan awal dan kemudiannya dipindahkan ke sebuah hospital swasta bagi rawatan lanjut.
Christopher berkata, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan pemeriksaan mendapati dia mengalami keretakan kecil pada bahagian pergelangan kaki kanan.
Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan yang dijalankan bersama pasukan siasatan jenayah, forensik serta saksi mendapati kejadian itu berlaku disebabkan kemalangan sendiri dan bukannya berpunca daripada unsur lain.
![]()
“Mangsa juga mengesahkan tiada sebarang unsur buli, penganiayaan atau pengabaian berlaku sebelum mahupun semasa kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian berkenaan kerana ia boleh menimbulkan kegusaran masyarakat selain mengganggu siasatan pihak berkuasa. Kes kini dibuka di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).
Kredit: Sinar Harian