Dua beradik dilaporkan terjatuh dari sebuah bangunan pangsapuri di Tampoi, Johor Bahru sekitar jam 8 pagi semalam dalam kejadian yang berlaku di kawasan kolam renang tingkat tujuh.
![]()
Dua Beradik Jatuh Dari Pangsapuri Selang Beberapa Minit
Menurut saksi kejadian, ketika insiden berlaku hanya beberapa individu berada di lokasi termasuk dirinya, suami, bayi mereka dan seorang pekerja pembersihan. Mereka terdengar bunyi kuat seperti objek jatuh sebelum mendapati seorang kanak-kanak perempuan telah terjatuh dari bangunan tersebut. Saksi berkata keadaan ketika itu menjadi cemas dan beberapa penduduk lain mula berkumpul di lokasi kejadian.
Tidak lama selepas itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki turut terjatuh di tempat yang sama. Kejadian kedua itu menyebabkan keadaan bertambah panik dan saksi bersama beberapa individu lain menghubungi ambulans serta mendapatkan bantuan jiran berhampiran.
![]()
Seorang penduduk yang tinggal di tingkat 13 bangunan berkenaan memaklumkan kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Irfan dan adiknya Puteri. Menurutnya, ibu kepada kedua-dua kanak-kanak itu tiba di lokasi tidak lama selepas kejadian dan berada dalam keadaan terkejut sebelum ditenangkan oleh penduduk sekitar.
Difahamkan, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala abangnya yang berusia 10 tahun masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Kredit: Harian Metro